Friday, August 8, 2014

Puasa Sunat 6 Syawal

Kesempurnaan ibadat seseorang islam bukan sekadar terletak kepada amalan fardhu yang diwajibkan malah turut ditampung oleh amalan sunat yang mana salah satunya adalah puasa sunat 6 di bulan Syawal.

Abu Ayyub al-Ansari meriwayatkan hadith daripada Rasulallah s.a.w. tentang kelebihan puasa 6 Syawal yang maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa 6 hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun"

Susunan hadith Imam al-Tabrani pula menerangkan fadhilat puasa 6 hari Syawal yang maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya"

CARA PERLAKSANAAN PUASA 6 SYAWAL

Di dalam mazhab Syafie menyebut lebih afdal perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut. Walaubagaimanapun ini tidak bermakna jika dilaksanakan secara tidak berturutan atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap salah, malah semuanya diterima dan dikira sebagai satu ibadah.

Perlu difahami bahawa kelebihan umpama berpuasa sepanjang tahun bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal sahaja tetapi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal terhasil apabila seseorang melakukan puasa qadha selama 6 hari di bulan Syawal walaupun niatnya adalah qadha & bukan niat puasa 6 Syawal.

Kata-kata Imam al-Saya'rawi: "Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana perlaksanaan puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal".

Kesimpulannya adalah terlebih baik jika diselesaikan dahulu puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan puasa 6 Syawal.

Ia juga merupakan sebagai satu cabaran supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan sebagai satu dorongan untuk terus beribadah secara istiqamah dan berpanjangan.

Niat puasa 6 Syawal : "Sahaja aku puasa sunat bulan syawal kerana Allah swt". Selamat beramal semua.

“TaqabbalaLlahhu minna wa minkum (semoga Allah menerima amalan kami dan kalian)” 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...