Monday, May 30, 2011

~Malaysia Negara Orang Gemuk???~

Petikan daripada KOSMO 

SEMAKIN ramai rakyat Malaysia gemuk. Gejala itu membolehkan Pertandingan Ratu Gemuk diadakan sempena sambutan ulang tahun pusat beli-belah Sungei Wang ke-30 di Kuala Lumpur satu ketika dulu. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 16.8 juta atau 60 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia mengalami masalah kegemukan termasuk golongan kanak-kanak dan jumlah itu menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 50 peratus atau sebanyak 8.4 juta orang mengalami masalah obesiti manakala baki 50 peratus lagi merupakan penduduk melebihi berat badan ideal.
  
Perkara tersebut didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang melahirkan kebimbangan kerana ia merangkumi semua peringkat umur.

“Sekarang ini, selain orang dewasa, kita boleh lihat kanak-kanak turut terdedah kepada pelbagai penyakit kerana masalah kegemukan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tahun 2010 di sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah timbalan beliau, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Menurut Tiong Lai, masalah kegemukan yang berpunca daripada cara pemakanan dan gaya hidup yang kurang sihat merupakan ‘pintu masuk’ kepada pelbagai penyakit kronik yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat.

“Fenomena ini membimbangkan kerana ia secara langsung berkaitan dengan peningkatan risiko penyakit seperti diabetes, sakit jantung, buah pinggang, darah tinggi dan barah.

“Trend terkini menunjukkan orang ramai yang mengalami masalah kegemukan merupakan golongan berisiko terdedah kepada penyakit tersebut” katanya.

Sehubungan itu, Tiong lai menggesa rakyat supaya mengamalkan pemakanan yang seimbang serta gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal termasuk bersenam, joging dan bersukan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...